Thursday, July 5, 2007

FORGIVE AND FORGET

Saya masih ingat akan nasihat guru kaunseling sekolah saya (Sek.Men.Raja Perempuan Ipoh 1976-1980). Beliau ada memberi ceramah tentang cara-cara untuk mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan. Salah satu nasihat beliau yang bergitu berkesan di hati saya ialah;

"Untuk berjaya, pelajar bukan sahaja perlu mengulangkaji pelajaran tetapi pelajar juga perlu menghormati ibubapa, guru-guru, orang yang lebih tua dari kita dan teman-teman sekeliling."

Dahulu saya hanya mengikut nasihat beliau, kerana saya sangat mengharapkan kejayaan dalam pelajaran agar kejayaan ini kelak dapat mengubah struktur ekonomi hidup saya.

Sekarang saya mulai faham akan nasihat tersebut. Sebenarnya, apabila kita menghormati setiap orang yang berada di sekeliling kita, kita sebenarnya menghantar signal (aura) supaya diri kita juga akan dihormati. Apabila kita merasai suasana saling menghormati, maka proses pembelajaran akan berlaku dengan mudah dan lancar.

Ada juga yang berpendapat, orang disekeliling kita mempunyai pelbagai sikap yang kadang kala menyukarkan dan mengganggu keharmonian emosi kita. Maka di sinilah perlunya sikap forgive and forget. Sememangnya akan ada manusia-manusia yang suka cari pasal kerana manusia ini bukanlah sempurna tetapi sekiranya kita sedar akan keperluan keharmonian hidup maka kita kena terus ingatkan otak, maafkanlah mereka yang berbuat kesalahan dan lupakanlah kesalahan itu.

Ramai juga yang akan berkata, bukan semudah itu kita dapat memaafkan dan melupakan, tetapi ingatlah akan Power Of Mind. Bagi kita yang mempunyai objektif hidup yang jelas, kita tidak boleh mengubah manusia lain untuk mengikut cara kita tetapi kita boleh mengawal hidup kita agar objektif dan tujuan hidup kita kesampaian. Kita kena perjuangkan agar otak kita berfikir untuk memaafkan dan melupakan kesalahan manusia lain dengan cara "Jangan fikirkan kesilapan dan kesalahan manusia lain" tetapi sebaliknya tumpukan perhatian kepada memikirkan cara-cara agar kehidupan kita hari ini jauh lebih baik dari semalam dan hari esok kita jauh lebih baik dari hari ini.

Di sinilah pentingkan "Don't think reverse" dan pemikiran kita perlulah pandang terus kehadapan. Kita perlu selalu melihat objektif yang hendak kita capai. Kita harus terus memikirkan setiap langkah yang perlu diatur dengan baik bagi memastikan setiap objektif hidup kita tercapai.

Perlu diingati bahawa setiap perbuatan kita akan membawa kesan jangka panjang kepada kehidupan kita. Setiap perbuatan akan ada pembalasannya. Buat baik, akan dibalas baik dan buat jahat, akan dibalas jahat. Pembalasan boleh datang serta merta atau disatu masa yang akan datang. Pembalasan bukan akan datang dalam bentuk yang sama tetapi boleh datang dalam pelbagai cara, pada masa yang berbeza dan mungkin bukan kepada kita tetapi kepada orang-orang yang kita kasihi iaitu keluarga kita sendiri. Maka, sebelum kita bertindak, kita kena fikirkan kesan dari tindakan kita itu. Oleh itu, ingatlah supaya kita selalu berusaha untuk menghormati dan berbuat baik kepada semua orang disekeliling kita agar keharmonian hidup tercapai.

Keharmonian hidup bagi saya adalah keharmonian jiwa. Apabila jiwa kita harmoni, kita akan berasa lebih sihat dan lebih bersemangat dalam usaha mencapai impian hidup. Kita yang bertanggungjawab untuk memastikan jiwa kita harmoni.

Ingat kepada konsep Forgive and Forget dan Don't think reverse.

Hati yang bersih menjadikan hidup kita sihat dan lebih bersemangat.

1 comment:

mawar said...

Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak atas tips dan panduan ini. Silalah menulis lagi. Saya rasa termotivasi membaca penulisan puan.Hanya Allah dapat membalasnya.