Thursday, August 30, 2007

KETAKUTAN DAN KEKECEWAAN

Konsep "hari ini kita adalah lebih baik dari semalam" dan "hari esok kita perlulah lebih baik dari hari ini" adalah satu konsep yang mengajar kita supaya "jangan selesa dengan keadaan kita pada masa ini".

Jika diambil kisah perjalanan hidup ini, kita dapat melihat apabila kehidupan kita agak selesa untuk satu jangka masa, tiba-tiba akan muncul satu atau lebih dugaan yang mengganggu gugat keselesaan hidup kita sehinggakan kadang kala timbul rasa "kecewa dan takut".

Kekecewaan dan ketakutan ini perlu agar kita tersedar dari alam selesa dan bangkit untuk berusaha bagi memastikan kehidupan yang akan kita teruskan perlu lebih baik dari kehidupan sedia ada. Ini bukan bermakna kehidupan kita ini tidak baik atau kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada tetapi kita perlulah memperlihatkan rasa kesyukuran dengan ciptaan ALLAH iaitu akal fikiran dan menggunakannya sebaik mungkin bagi memakmurkan bumi ALLAH ini.

Kepada pelajar-pelajar, ketakutan ini perlu bagi memastikan anda tidak leka dan tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa, dan anda perlulah terus berusaha bagi memastikan anda memperolehi keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Kecemerlangan pelajaran bukanlah jaminan kejayaan kehidupan seterusnya tetapi sikap positif dan sikap sentiasa berusaha untuk menjadi kan diri anda lebih baik setiap masa, sikap inilah yang akan menjamin kejayaan anda dimasa hadapan.

Kebaikan hidup meliputi sikap luaran dan sikap dalaman. Tafsirannya sangat meluas.

Nasihat saya, jangan takut untuk mengalami kekecewaan kerana kekecewaan akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih berhati-hati.

Kehidupan di hadapan lebih banyak cabaran dan dugaan, oleh itu kita perlu berani dan banyakkan berusaha serta berdoa kepada ALLAH.

No comments: