Wednesday, June 13, 2007

ONE AND ONLY YOU - part 2

Manusia sering terlupa bahawa ALLAH telah pun mencipta seorang manusia itu sangat istimewa setiap satu kejadiannya. Setiap manusia mempunyai identiti yang berbeza antara satu sama lain. Dengan lain perkataan, kita dicipta khas untuk diri kita. Maka , manusia sepatutnya kasih kepada pencipta dan kasih kepada diri kita sendiri. Diri kita adalah aset utama yang perlu digunakan untuk meneruskan kehidupan.

Semasa saya mula-mula ingin membuka satu perniagaan, soalan yang pertama yang saya fikirkan adalah, di mana saya perlu mencari modal? Saya kira, persoalan inilah juga yang menyekat ramai orang dari memulakan satu perniagaan. Sebenarnya modal yang paling berharga adalah diri kita dan pemikiran positif kita. (POWER OF MIND)

Semasa saya tercari-cari, bidang perniagaan yang saya ingin ceburi, rakan baik saya Pn Sarimah Hj Samuri menyedarkan saya agar saya membuka satu perniagaan dalam bidang yang saya mahir sahaja. Lalu saya telah mengambil keputusan untuk membuka sebuah Pusat Tuisyen. Saya mengambil keputusan ini diatas 3 sebab utama iaitu;

1. bidang pendidikan adalah bidang kemahiran saya
2. saya menggunakan diri saya sebagai aset utama (tenaga pengajar)
3. saya boleh menguruskan hal ehwal pendidikan anak-anak saya dengan baik.

Saya mendapatkan bantuan Pn Sarimah sebagai penjamin pinjaman pribadi dari Bank Rakyat (terima kasih sarimah) untuk memulakan perniagaan saya. Melalui wang pinjaman itu, saya hanya mampu menyewa satu tingkat bangunan dan membina 2 kelas dengan 2 biji penghawa dingin. Pada tahun pertama perniagaan saya, ramai rakan-rakan saya yang menyuarakan pendapat bahawa saya telah tersilap langkah kerana memilih untuk berhenti bekerja dan membuka sebuah pusat tuisyen. Ramai juga yang beranggapan, pusat tuisyen selalunya tumbuh bagai cendawan iaitu banyak pusat tuisyen dibuka silih berganti tetapi banyak juga yang tutup akhirnya kerana pelbagai masalah.

Saya masih berpegang kuat kepada teori POWER OF MIND iaitu sejak sekian lama tertanam di fikiran saya, saya ingin menjadi seorang ibu yang mampu menjaga anak-anak dengan baik dan dalam masa yang sama saya juga mempunyai kerjaya yang baik agar kedudukan ekonomi saya baik serta ijazah yang saya perolehi tidak sia-sia. Saya juga percaya dengan diri saya sebagai aset utama perniagaan saya. Saya lakukan langkah-langkah yang sepatutnya iaitu,

1. saya menulis impian saya
2. saya baca setiap hari dengan keyakinan
3. saya menghargai kelebihan yang ada dalam diri saya

Perniagaan saya bermula dengan saya sebagai pengurus, tenaga pengajar dan saya juga membersihkan bangunan perniagaan saya sendiri. Saya mula bekerja dari jam 9 pagi sehingga 10.30 malam setiap hari. Walaupun masa bekerja saya panjang tetapi saya mampu menguruskan anak-anak saya dari segi pengangkutan ke sekolah dan dari segi pembelajaran mereka kerana masa bekerja dan syarikat ini adalah milik saya.

Walaupun modal perniagaan saya kecil, tetapi modal diri saya adalah yang paling berharga iaitu saya menjual diri saya sebagai seorang guru yang baik dalam matapelajaran Mathematics, Science dan Chemistry dan saya juga menjual diri saya sebagai seorang pengurus pusat tuisyen yang cemerlang. Kekuatan dalaman yang perlu ada adalah sentiasa berfikiran positif. Apabila ada masalah yang melanda perniagaan saya, saya ambil masalah itu sebagai satu kayu pengukur kepada kemajuan perniagaan saya. Kebanyakkan masalah adalah sumber utama maklumat tentang betul atau salah kepada tindakan yang telah kita ambil dan dengan ini kita dapat memperbaiki dan memperkemaskan sistem perniagaan. Saya juga sangat bersyukur kerana saya mempunyai suami dan anak-anak yang sangat setia menyokong saya setiap masa. Dalam kebanyakkan masa, mereka sama-sama membantu saya dalam pelbagai hal.

Oleh kerana saya mempunyai impian yang telah saya tulis dan baca setiap hari, maka hala tuju perniagaan saya jelas. Saya tidak tergesa-gesa membesarkan perniagaan saya. Saya mengambil sikap, membesarkan perniagaan saya apabila ada permintaan dan apabila saya yakin saya mampu menguruskannya dengan baik. Pembesaran perniagaan saya haruslah selari dengan kehendak saya untuk sama-sama menguruskan kebajikan anak-anak saya. Saya tidak akan mengorbankan kebajikan anak-anak saya demi perniagaan saya kerana tujuan utama saya membuka perniagaan adalah kerana saya inginkan masa untuk menguruskan anak-anak sebaik mungkin dan ingin juga memiliki keutuhan ekonomi bagi menampung keperluan pendidikan anak-anak. Sejak kebelakangan ini , saya menambah satu lagi sebab untuk saya menguruskan perniagaan ini iaitu saya juga ingin membantu pelajar-pelajar yang menginginkan bantuan dari segi memperbaiki mutu pendidikan mereka agar pelajar ini mendapat keputusan yang cemerlang agar mereka juga mampu memiliki kehidupan yang baik di masa akan datang. Kerana sebab baru inilah, saya telah mengambil keputusan membuka blog ini bagi membantu memotivasikan orang-orang disekeliling saya.

Sekarang, alhamdulillah Pusat Tuisyen telah berkembang dengan baik dimana saya telah mampu membina 6 kelas dengan setiap kelas mempunyai sekurang-kurangnya 2 penghawa dingin (demi keselesaan pelajar), setiap kelas juga dilengkapi dengan sistem pemantauan cctv dan audio. Saya juga telah mampu mempunyai barisan guru-guru dan pekerja yang sangat dedikasi, cemerlang , setia serta amanah dalam menjalankan tanggung jawab mereka. Saya juga sangat berbangga kerana 2 orang anak saya telah berjaya melepasi pendidikan awal SPM dengan keputusan yang sangat cemerlang dan mereka juga telah berjaya mendapat tajaan biasiswa pendidikan dari JPA dan PNB ke peringkat ijazah pertama.

Matlamat utama saya telah tercapai dan sekarang saya berazam, saya juga mampu membantu seberapa ramai pelajar saya agar mereka juga sama-sama mendapat manafaat dari perniagaan saya. Saya sangat berharap Pusat Tuisyen saya mampu melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pendidikan mereka.

Pengajaran yang ingin saya sampaikan disini ialah, walau apapun yang ingin kita lakukan, ingatlah bahawa diri kita adalah penyebab untuk kita berjaya atau gagal. Jika kita memilih untuk berjaya, maka kita mesti berfikiran positif dan mesti mempunyai matlamat hidup yang jelas.

3 comments:

Nan Nurhayati said...

teori yg kak nor amalkan tu sebenarnya pernah abg wan cadangkan pada ti... dan ti buat esp masa ti nak habiskan adv diploma dulu. setiap semester ti akan tulis brapa point untuk setiap subjek yg ti angan-angankan utk capai. dan hasilnya sepanjang lima semester, result tak pernah kurang drp 3.50. akhirnya ti grade dengan 3.77.
yg pasti, teori tu memang menjadi dengan syarat disertakan usaha, doa dan tawakkal.
Keep up your good work!

POWER OF MIND said...

Alhamdulillah, ti adalah salah seorang lagi contoh kepada teori POWER OF MIND. Teori ini akan lebih berkesan apabila kita terapkan dalam amalan ibadah setiap hari. kita berdoa setiap kali selesai solat, berdoa dengan sesungguh hati dan apabila otak menerima input positif ini, segala gerak badan sama ada dalaman atau luaran akan terarah kepada usaha menjadikan impian itu satu rialiti.

Terima kasih ti.

Nan Nurhayati said...

ti belum ada email personal kak nor. boleh bagi tak?